Monday, 27 December 2010

SYAIR PUJIAN UNTUK SI TUNA BESAR DI PASAR oleh Pablo Neruda

Di celah kehijauan pasar
sebutir peluru
dari perut
lautan,
projektil
berenang,
aku nampakmu,
mati.


Semua di sekitarmu
ialah daun salad,
buih lautan
bumi ini,
lobak merah,
anggur,
tapi
dari ketulenan
lautan,
dari yang tidak diketahui,
dari bayang-bayang
yang tidak terduga,
dalamnya laut,
lubang dalam,
hanya kamu yang bertahan,
saksi tewas,
yang hitam-legam,
kepada malam yang pekat.

Hanya kamu, peluru gelap
yang dituju dengan tepat
dari lubang dalam,
dimusnah pada satu hujung,
tapi sentiasa
dilahirkan semula,
sebuah sauh dalam arus,
sirip yang bersayap,
berkincir
dalam penerbangan
yang lincah
si bayang-bayang
maritim,
panah berkabung,
sumpit di laut,
ikan berminyak, seperti zaitun.

Aku melihatmu yang mati,
raja yang mangkat
dari lautanku,
serangan hijau,
cemara selam yang berwarna perak,
benih
dari gempa laut,
kini
yang tinggal hanya kematian,
namun
di seluruh pasar ini
kamulah
satu-satunya
bentuk yang punya tujuan
di antara
penaklukan alam
yang membingungkan;
di antara kehijauan yang rapuh
kamulah
kapal yang sepi,
bersenjatakan,
di antara sayur-sayuran,
sirip dan bahagian depan yang hitam dan berminyak,
seolah-olah kamu masih
kapal dari angin,
satu-satunya
mesin
lautan
tulen:
tanpa cacat, mengemudi
perairan kematian.

(Versi asal: Oda a un gran atún en el mercado)

Sunday, 26 December 2010

SYAIR PUJIAN UNTUK GARAM oleh Pablo Neruda














Garam ini
dalam bekas garamnya
Aku pernah nampak di lombong garam.
Aku tahu
kau takkan
percaya
tapi
ia menyanyi
garam menyanyi, kulit
dari lombong garam
menyanyi
dengan mulut yang dikambus
oleh tanah.
Aku menggigil dalam
kesunyian itu
bila aku mendengar
suara
garam
di padang gurun.
Dekat Antofagasta
tanah pampa
bernitrat
bergema:
suara
yang patah,
lagu
berkabung.

Dalam guanya
garam mengerang, segunung
cahaya yang ditanam,
katedral yang lutsinar,
kristal dari lautan, yang dilupakan
oleh ombak.
Kemudian di setiap meja
di dunia,
garam,
kita nampak serbukmu
yang mengasyikkan
menabur
cahaya yang diperlukan
ke atas
makanan kita.
Pemelihara
tempat simpanan
kapal lama,
penemu
di laut yang jauh,
kelasi
terawal
untuk apa yang tidak diketahui,
simpangan buih yang berubah-ubah.
Debu laut, keranamu
lidah menerima ciuman
dari malamnya laut:
setiap makanan berperisa
mendapat rasa dari zat lautanmu;
gelombang paling kecil,
miniatur
dari bekas garam
menunjukkan kita
bukan saya keputihan rumahtangga;
di dalamnya, kami merasai apa yang tak terbatas.

(Versi asal: Oda al Sal)

SYAIR PUJIAN UNTUK SI TOMATO oleh Pablo Neruda

Jalan itu
dipenuhi tomato,
tengahari,
musim panas,
cahaya
dibelah dua
seperti tomato
jusnya
berlari
merentasi jalan-jalan itu.
Pada bulan Disember
tanpa henti
si tomato
menyerbu
dapur,
ia masuk semasa makan tengahari,
dengan santai mengambil
tempatnya
di atas
kaunter,
antara gelas-gelas,
piring mentega,
tempat garam biru.
Ia melimpahkan
cahayanya yang tersendiri,
keagungan yang jinak.
Malangnya, kita harus
membunuhnya:
pisau itu
memotong
tubuh yang hidup,
merah
rongga perutnya,
matahari
yang nyaman,
mendalam,
tak pernah habis,
meramaikan penduduk salad-salad Chile,
dengan gembiranya, dia berkahwin
dengan bawang yang jernih,
dan untuk merayakan mempelai ini
kita
tuang
minyak,
zat
anak hasil zaitun,
ke dua belahan hemisferanya,
lada
menambahkan
semerbak;
garam, tarikan magnetnya;
inilah perkahwinan hari ini,
peterseli
menaikkan benderanya,
ubi-ubi
membuih dengan deras,
kewangian
daging panggang
mengetuk
di pintu,
dah sampai masa!
marilah!
dan, di atas
meja, di tengah-tengah
musim panas,
si tomato,
bintang bumi, bintang yang
kerap muncul
dan subur,
menunjukkan
belit-belitnya
kanalnya,
jangkauan dan kelimpahannya
yang mengagumkan,
tiada biji keras,
tiada kulit keras,
tiada daun atau duri,
si tomato memberi
hadiahnya
warna yang berapi-api
dan diirnya yang lengkap dan nyaman.

(Versi asal: Oda al Tomate )

SYAIR PUJIAN UNTUK SEPASANG SARUNG KAKI oleh Pablo Neruda

Mara Mori memberiku
sepasang sarung kaki,
yang dia tenun sendiri
dengan tangan gembala biri-birinya,
dua sarung kaki selembut arnab.
Aku menyelinap kakiku ke dalam mereka
seolah-olah mereka dua kotak
ditenun dengan benang-dengan senja dan kulit kambing.

Sarung kaki yang ganas,
kakiku dua ekor ikan buatan bulu biri-biri,
dua yu panjang
biru laut, disulam oleh
selembar benang emas,
dua burung jalak yang besar,
dua meriam,
kakiku mendapat penghormatan ini,
oleh sarung kaki yang bagaikan dari syurga.

Mereka sangat tampan dan untuk kali pertamanya,
kakiku seperti tidak dapat aku terima,
seperti dua ahli bomba yang lapuk,
ahli bomba yang tak layak untuk api yang ditenun,
oleh sarung kaki yang bersinar itu.

Namun, aku menahan godaan kuat
untuk memelihara mereka bagaikan budak sekolah
mengumpul kelip-kelip,
atau para ulama menyimpan
kitab suci,
aku menolak desakan gila
untuk meletakkan mereka
dalam sangkar emas dan setiap hari memberi mereka
makanan burung dan hirisan tembikai merah muda.
Seperti peneroka di hutan
yang menyerahkan rusa hijau yang jarang ditemui
ke tempat masak dan memakannya dengan kesal,
aku memanjangkan kakiku dan memakai
sarung kaki yang hebat itu dan kasutku.

Mesej syair pujianku ialah:
keindahan ialah dua kaliganda indah
dan apa yang baik ialah dua kaliganda baik
apabila halnya ialah dua sarung kaki
buatan bulu biri-biri di musim sejuk.

(Versi asal: Oda a Los Calcetines)

Saturday, 25 December 2010

SYAIR PUJIAN UNTUK WAIN oleh Pablo Neruda


Wain yang berwarna siang,
wain yang berwarna malam,
wain dengan kaki ungu
atau darah topaz,
wain
anak berbintang
bumi ini,
wain, licin
bagaikan pedang emas,
lembut
bagaikan baldu berahi,
wain, dalam kerang beruli
dan penuh ajaib,
penuh kasih,
lautan,
tak pernah muat dalam satu gelas,
sebuah lagu, seorang lelaki,
kamulah korus, ramah bersuara,
sekurang-kurangnya, kamu mesti dikongsi.
Ada kalanya,
kamu menjamah memori hidup;
ombakmu membawa kami
dari makam ke makam,
tukang kubur dari kubur ais,
dan kami menangis
airmata fana;
tapi
gaun musim bungamu
yang indah
ialah lain,
jantung akan naik melalui cabang-cabang,
angin menghasut hari,
tiada yang tinggal
dari rohmu yang abadi.
Wain
menggerakkan musim bunga, kegembiraan
memancut dari bumi bagaikan tanaman,
dinding meruntuh,
dan tebing berbatu,
jurang merapat,
bila lagu dilahirkan.
Sekendi wain, dan dikau bersamaku
di belantara,
nyanyi si penyair lama.
Biarkan bekas wain ini
menambah ciumnya
kepada ciuman cinta.

Kasihku, tiba-tiba
garis pinggulmu
menjadi lenggok cawan wain
yang hampir melimpah,
buah dadamu ialah gugusan anggur
putingmu ialah anggur,
cahaya roh menyinari rambutmu,
pusatmu ialah meterai suci
dicap atas perutmu,
cintamu bagaikan limpahan air
yang tidak henti-henti,
cahaya yang menerangi deriaku,
nikmat hidup di bumi.

Tapi kamu lebih dari cinta,
ciuman berapi,
kehangatan api,
lebih dari wain kehidupan;
kamulah persaudaraan manusia,
ketelusan,
paduan disiplin,
kelimpahan bunga.
Aku suka kalau di meja,
semasa berbual,
cahaya dari botol
wain yang bijaksana.
Minumlah ia,
dan ingatlah dalam setiap titis emas itu,
dalam setiap gelas topaz,
dalam setiap sudu ungu,
bahawa musim luruh telah bekerja
untuk mengisi kendi dengan wain;
dan dalam upacara kerjanya
biarlah manusia sentiasa ingat
akan tanah dan tugasnya,
untuk menyebarkan lagu suci wain.

(Versi asal: Oda al Vino )

SYAIR PUJIAN UNTUK SI KUCING oleh Pablo Neruda



Binatang-binatang itu   
tidak sempurna.
Ekor panjang, sedih 
di kepala,
Sedikit demi sedikit mereka 
mengatur diri mereka,

menjadi satu lanskap,

memperoleh bintik-bintik, gaya, penerbangan.

Si kucing,

hanya kucing

muncul lengkap
dan bangga:

lahir benar-benar selesai,

berjalan sendirian dan tahu apa yang ia mahu.


Manusia ingin menjadi ikan atau burung,

ular lebih suka memiliki sayap

anjing adalah singa yang sesat,
jurutera ingin menjadi seorang penyair,
lalat mempelajari layang-layang,

penyair cuba untuk meniru lalat,
tapi si kucing
hanya ingin menjadi kucing
dan setiap kucing ialah kucing
dari misai ke ekor,

dari firasatnya ke tikus hidup

dari malam ke mata emasnya.


 
Tidak ada satu

seperti dia,
tidak ada 
bulan dan bunga
tiada konteks sepertinya:
ia adalah satu
seperti matahari atau sebentuk topaz,
dan garis elastik dari konturnya
 
kuat dan halus seperti
 
garis haluan di kapal.

Mata kuningnya
tinggalkan hanya 

secelah
untuk meyumbat syiling emas malam.
 


Oh si kecil
maharaja tanpa dunia,

penakluk tanpa negara,

harimau kecil ruang tamu, pengantin 
sultan dari langit 

ubin berahi,

angin cinta 
di tempat terbuka
anda desak
ketika anda melewati

dan sempat posing,
empat kaki halus

di lantai
,
menghidu,

merasa sangsi

terhadap semua benda di dunia
,
kerana semuanya

terlalu kotor
untuk kaki rapi si kucing.
 

O binatang bebas 
di rumah,

sisa-sisa malam yang sombong,
malas, lincah 
dan asing,

kucing yang mendalam,
polis rahsia 
tempat kediaman,
lambang 
untuk
baldu yang hilang,


mungkin tiada 
teka-teki 
dengan cara anda,
mungkin anda tidak misteri
semua orang tahu anda dan anda kepunyaan 
mahkluk yang paling tiada misteri,

mungkin semua orang percaya itu,

semua orang percaya merekalah tuan,
pemilik, bapa saudara 
si kucing, pendamping,
rakan sejawat,

murid atau kawan 
si kucing.
 


Bukan aku.

Aku tidak percaya itu.

Aku tidak kenal si kucing.

Aku kenal semuanya, kehidupan dan kepulauannya,
lautan dan bandar tak terhitung
,
botani,
tempat tinggal gundik-gundik dan kelampauannya,
kelebihan dan kekurangan matematik
,
saluran darah gunung berapi dunia,
kulit keras buaya yang tidak benar,

kebaikan tersorok pemadam kebakaran, 

kebiruan paderi yang pernah muncul dulu,
tapi aku tidak boleh memahami si kucing.
Fikiran aku tergelincir di depan ketidakpeduliannya,

matanya yang mengandungi nombor emas.

(Versi asal: Oda al Gato)

Friday, 24 December 2010

Short story by Chuah Guat Eng in 5th issue of SELANGOR TIMES


After reading this, you may also want to check out Chuah Guat Eng's books! One of the stories in The Old House is translated and included in Orang Macam Kita, too.